Artikel

Harga Makanan Di Gerai, Restoran Kini Naik – Sehingga 40%

Bagi kumpulan pekerja yang bergantung kepada perolehan makanan di luar rumah, kini pasti terkesan akan kenaikan harga makanan di gerai dan restoran – yang dilihat mulai naik sehingga 40%.

Peningkatan secara perlahan ini menurut MAPIM berlaku, susulan tekanan kos bahan mentah yang masih tinggi, yang terpaksa ditampung oleh para pengusaha.

Sekiranya dapat dilihat pada tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) minggu lalu, kos bahan mentah Disember 2022 menunjukkan beras, roti dan bijirin masih di paras 7.0%, diikuti daging 7.8% dan gula, jem, madu, coklat serta manisan pula naik 4.1% di pasaran.

Kadar tersebut secara langsung membawa kepada peningkatan kos pembelian makanan di luar rumah yang kekal di paras 9.6%.

Tidak sekadar harga makanan, kos minuman melibatkan segelas air kosong juga turut dimaklumkan dinaikan sehingga RM0.60 sen pada segelintir kedai makanan. Tindakan kenaikan ini antara lain adalah untuk mengimbangi tekanan kos operasi serta pengurangan pelanggan disebabkan paras inflasi semasa.

Berikutan isu ini, MAPIM menggesa pentadbiran negara untuk meningkatkan pengeluaran domestik, bagi mengurangkan kebergantungan kepada perolehan import. Pada masa yang sama, orang awam turut boleh laksana aduan melalui EzyADU kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melaksanakan tinjauan ke atas permis yang meningkat kos keterlaluan – bagi memastikan kebajikan pengguna tidak diekspoitasi.