Artikel

PLUS Kini Sedia Transaksi Nirtunai Di Lebih 300 Gerai R&R, Buat Pengguna

Selari dengan memperkasakan sokongan ekonomi digital negara, PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, sebahagian besar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS kini telah menyediakan kemudahan bayaran nirtunai (tanpa tunai) di lebih 300 gerai buat para pengguna lebuhraya.

Ini bermakna, ketirisan wang tunai tidak lagi menjadi isu dalam kalangan pengguna – ketika berhenti di R&R. Lebih menarik, usaha ini tidak sekadar memudahkan pengguna, tetapi turut mendedahkan peniaga akan kelebihan nirtunai dan dapat menawarkan ganjaran yang lebih berganda untuk para pengguna.

Setakat ini, sokongan nirtunai tersebut merangkumi penyertaan melalui kad Debit, kad Kredit, GrabPay, Touch ‘n Go e-Wallet, Boost, MAE, Setel, ShopeePay dan MPay. Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menerima dan menggunakan pembayaran nirtunai.

Malah penyertaan kumpulan penyedia kewangan ini turut tampil dengan pelbagai kempen promosi – bagi merancakkan lagi penggunaan kaedah nirtunai dalam kalangan pengguna, antaranya seperti MyDebit melalui Wave & Menang, dan Setel bersama ganjaran pulangan tunai di R&R.

Adanya usaha berterusan ini, ia tidak mustahil akan membentuk ekosistem PLUS R&R sebagai lokasi nirtunai sepenuh di masa akan datang.