Indeks Harga Pengguna (IHP), yang turut menjadi pengukur kepada paras inflasi utama Malaysia – kini memaparkan penurunan kepada 3.8% bagi data Disember 2022.
Maklumat yang dikongsikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini jelas memperlihatkan kadar tersebut lebih rendah berbanding data lepas sekitar 4.0%. Akan tetapi penurunan ini kekal memperlihatkan kos bahan makanan masih meningkat dengan perlahan di pasaran.
Data menunjukkan kebanyakkan kategori makanan dan minuman memaparkan peningkatan harga, walaupun kenaikan sedikit perlahan. Antaranya daging naik sebanyak 7.8%, diikuti susu, keju dan telur (7.1%), beras, roti dan bijirin lain (7.0%), gula, jem, madu dan manisan naik (4.1%) serta buah-buahan naik 4.0%.
Sementara itu inflasi makanan di rumah pula di paras 4.9% dan makanan di luar rumah 9.6%.
Selain itu, kategori pengangkutan pula naik lebih sederhana dengan 4.9%, diikuti penyelenggaraan isi rumah (3.7%). Manakala bahagian restoran dan hotel pula telah memaparkan lonjakan kos susulan tekanan harga dengan 7.4%.
Tinjauan ini secara menyeluruh memperincikan, inflasi tahun 2022 telah meningkat sebanyak 3.3% berbanding tahun 2021. Dan data bagi Disember 2022 ini, menunjukkan terdapat 4 negeri berdepan paras inflasi yang tinggi, iaitu Putrajaya (7.9%), Selangor (4.5%), Sarawak (4.1%) dan Johor (3.9%). Hanya Kedah yang mencatatkan kadar inflasi paling rendah, sekitar 2.2%.