Artikel

Johor Teroka Pelaksanaan Laluan Baharu Khidmat Feri Ke Singapura

Pentadbiran Johor kini dalam perancangan mengkaji laluan baharu bagi perkhidmatan feri untuk perjalanan ke Singapura.

Semakan ini merangkumi perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di mana lokasi tersebut adalah pintu masuk utama antarabangsa yang berpotensi meningkatkan akses pelancong ke Johor.

Buat pengetahuan umum, setakat 2022 sahaja lebih 141,000 pelancong dari Batam dan Tanjung Balai di Indonesia telah memasuki Johor melalui kemudahan terminal tersebut. Maka dengan adanya akses baharu itu bersama Singapura – ia dilihat dapat merancakkan lagi struktur ekonomi domestik bersama pelancong antarabangsa.

Kedudukan terminal ini yang strategik seperti berdekatan dengan Legoland Malaysia, Sunway Big Box dan Puteri Harbour ini akan meningkatkan lagi potensi pertumbuhan ekonomi negara.

Tambahan juga, peningkatan pelancongan kesihatan di Johor telah berjaya membawa kemasukan 36% pelancong di terminal tersebut maka ini meningkatkan keyakinan pentadbiran negeri untuk pertimbang penawaran laluan khidmat feri baharu.

Buat pengetahuan umum, khidmat feri antara kedua negara di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dengan Desaru Coast telahpun dilaksanakan pada Julai 2022 lalu.