Artikel

60% Majikan Di Malaysia Sukar Naikkan Gaji Pekerja

Ekoran peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing, diperhatikan sekitar 48% tenaga kerja profesional negara menzahirkan hasrat mereka – untuk meraih peningkatan gaji yang lebih setara dengan tekanan kos semasa. Akan tetapi 60% majikan di Malaysia mengakui sukar untuk penuhi tuntutan tersebut. 

Mengikut tinjauan pendapatan tahunan Robert Walters, disebabkan faktor itu didapati 95% majikan akui berasa tertekan untuk memastikan kapasiti pekerja profesional mereka dikekalkan. Tekanan ini jelas dapat diperlihat pada industri yang mengutamakan kemahiran teknikal dan pengalaman, seperti bahagian teknologi, kejuruteraan dan sumber manusia.

Untuk menjamin pengekalan pekerja dicapai, setakat tahun lalu 73% firma telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan produktiviti antara pekerja. Usaha ini merangkumi meningkatkan kemahiran petugas (68%), diikuti menambah faedah kebajikan (65%) dan penerapan polisi bekerja hibrid dilaksanakan (58%). 

Malah, perubahan drastik ekonomi ke arah teknologi digital – turut mendorong para majikan melaksanakan inisiatif kemahiran semula dalam kalangan petugas mereka. Ini kerana meskipun arena teknologi meningkatkan lagi kemahiran pengguna namun pasaran tenaga kerja semasa masih memiliki kekurangan dalam aspek tersebut. 

Maka sokongan majikan dalam memastikan pekerja mereka memiliki kemahiran yang diperlukan dalam era teknologi semasa ini, dilihat amat wajar dilaksanakan semua pihak – ini akan dapat membantu meningkatkan produktiviti syarikat dan turut dapat memenuhi keperluan ekonomi negara dari semasa ke semasa.