Artikel

BNPL Berpotensi Rugi $5.2 Bilion Menjelang 2025 – Bagi Kalangan Pengguna Asia

BNPL, Bayar Nanti Pakai Lekas dilihat miliki potensi untuk kehilangan sekitar $5.2 bilion menjelang 2025 – sekiranya penerapan fungsinya masih kecil dalam arena e-dagang dan pasaran semasa.

Kerugian itu mengikut dapatan TABInsight, berupaya berlaku dalam kalangan pengguna Asia. Di mana untuk Malaysia sahaja BNPL membentuk 4% daripada kaedah pembayaran yang digunakan dalam e-dagang berbanding 42% kad kredit.

Situasi sama turut didepani dengan penerapan BNPL di Indonesia (3%), Filipina (2%) dan Singapura (4%) pada kaedah pembayaran di e-dagang pasaran mereka.

Tidak hanya itu, mengikut RMFLS2022 didapati 59% pengguna Malaysia tidak gemar menggunakan BNPL – masih ramai pengguna lebih selesa melaksanakan pembayaran penuh berbanding ansuran. Di mana sekitar 40% mengakui bimbang akan dikenakan caj kelewatan sekiranya terlepas waktu pembayaran BNPL, manakala sebahagian melihat khidmat BNPL masih kurang memuaskan.

Selain persaingan bersama kad kredit dan tingkahlaku pengguna, penetapan peraturan dalam setiap negara Asia juga berpotensi merencatkan lagi perkembangan penyedia BNPL dalam kaedah pembayaran semasa, misalnya seperti Indonesia, Singapura, dan Filipina.

Sementara Malaysia pula dalam persediaan menggubal Akta Kredit Pengguna, yang dijangka akan diwartakan BNM pada akhir 2023 ini, bagi tujuan mengimbangi kemampuan had berhutang rakyat negara – khususnya dari kalangan penyedia BNPL yang bukan dari institut perbankan.