Memasuki tahun 2023, Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih pertumbuhan sekitar 4% bersama kadar pengangguran di paras 3.5% sepanjang tahun ini. Ekoran matlamat itu, dinamik ini dilihat berpotensi menaikkan paras gaji pekerja negara sehingga 20% – namun ia tertakluk kepada industri.
Pelarasan ini menurut tinjauan Pasaran Buruh Randstad 2023 adalah susulan sokongan teknologi dan perubahan ekosistem pekerjaan negara yang kini mengutamakan kemahiran teknikal pada pertumbuhan ekonomi.
Antara industri yang berpotensi meraih kenaikan gaji ketara adalah teknologi, pembuatan dan pembinaan. Keperluan ini seiring dengan fokus pembangunan negara yang terlibat dalam MyDIGITAL, perluasan 5G, hab nomad digital De Rantau, kemasukan pelaburan pembinaan di bawah MRT3, dan jangkaan kemasukan pelaburan MNC sekitar $2 bilion pada negara menjelang 2027.
Kesemua fokus sedemikian memiliki potensi mengembangkan pasaran buruh negara, sekaligus membolehkan syarikat memenuhi tuntutan kenaikan gaji pekerja seperti yang disasarkan.
Maka untuk terus meningkatkan produktiviti dan perolehan hasil, 85% pekerja pada kajian Workmonitar Randstad sebelum ini telah menzahirkan untuk menerima latihan dan perluasan pengetahuan dalam kemahiran mereka – bagi merancakkan lagi prestasi semasa.