Tatkala nilai kekayaan kumpulan teratas secara puratanya meningkat sekitar $2.7 bilion sehari, didapati sekitar 1.7 bilion pekerja di seluruh dunia pula terpaksa berdepan tekanan inflasi lebihi paras gaji mereka.
Menurut tinjauan Oxfam, badan amal antarabangsa pada pembentangan di World Economic Forum (WEF) minggu ini memperincikan angka pekerja yang terkesan dek lonjakan inflasi ini lebih tinggi daripada populasi India, iaitu lebih 1.4 bilion penduduk.
Melihat pada situasi ini, pemerhati ekonomi dunia mengusulkan bahawa tekanan cukai wajar dilaksanakan buat kumpulan orang kaya di dunia. Ketika ini didapati hanya 4 sen dalam setiap dolar hasil cukai yang dikenakan adalah daripada cukai kekayaan.
Oleh itu gagasan mengenakan cukai 5% bagi setiap jutawan dan bilionwan di dunia – dilihat dapat membantu dunia mengumpul $1.7 trilion setahun. Angka ini dilihat cukup untuk membebaskan seramai 2 bilion individu daripada kemiskinan, dan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik buat mereka.
Perolehan itu sekaligus dapat membantu lebih 820 juta individu yang didapati tergolong dalam kumpulan krisis kebuluran.
Untuk makluman, usul ini secara berterusan disuarakan pada sidang WEF. Ia bertujuan menjaga kesejahteraan masyarakat dunia selepas pandemik COVID-19 dan memelihara status ekonomi semasa.