Artikel

OpenDOSM Kini Tersedia – Mudahkan Rakyat Malaysia Ketahui Data Ekonomi Semasa

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama sokongan Kementerian Ekonomi kini menampilkan medium OpenDOSM NextGen yang bertindak selaku pusat rujukan data melibatkan ekonomi dan sosial semasa.

Melalui laman OpenDOSM, pengguna Malaysia dapat melihat pelbagai data dan aliran semasa berkaitan tekanan harga, inflasi, paras OPR, pengeluaran industri mahupun data melibatkan pasaran buruh.

Kepelbagaian ini secara langsung, akan memudahkan rakyat negara untuk lebih memahami akan status semasa ekonomi Malaysia. Ia sekaligus tidak sekadar memudahkan namun turut mendidik masyarakat menjadi lebih peka akan ketidaktentuan pertumbuhan semasa negara.

Tidak hanya ekonomi dan sosial, orang awam juga boleh meninjau pada bahagian katalog data untuk mengetahui lanjut berhubung kategori kesihatan negara dan data pilihanraya umum tempoh hari.

Malah sekiranya ingin mengetahui lanjut akan maklumat demografi negara, laman OpenDOSM ini turut menyediakan pautan KawasanKu bagi memudahkan rujukan buat para pengguna. Adanya ketersediaan medium ini, ia secara langsung akan meningkatkan lagi pemahaman rakyat Malaysia berhubung aliran pertumbuhan semasa.