Artikel

Tokoh Perniagaan, Tan Sri Azlan Zainol Meninggal Dunia Di Usia 72 Tahun

Negara pada hari ini (12 Januari) telah dikejutkan dengan makluman kehilangan seorang tokoh perniagaan dalam arena ekonomi serta pelaburan, iaitu Tan Sri Azlan Zainol – yang telah disahkan meninggal dunia di usia 72 tahun.

Untuk makluman, Tan Sri Azlan Zainol cukup dikenali sebagai tokoh yang mengutamakan integriti pada peranan beliau. Menyingkap kelayakannya pada arena ekonomi, beliau merupakan Felo Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales sejak tahun 1974 lagi, dan seterusnya memiliki pertauliahan dari Institut Akauntan Malaysia pada tahun 1975.

Melihat pada pengalaman, beliau merupakan Pengerusi MBSB Bank dan sebelumnya pernah menyandang peranan selaku Pengerusi RHB Bank Berhad, diikuti RHB Sekuritas Indonesia, Pengarah Urusan Ambank serta turut pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku Ketua Pegawai Eksekutif selama 12 tahun sehingga 2013.