Artikel

Jualan Coklat Di Malaysia Melonjak 12.7% – Barry Callebaut Kini Perkukuh Pelaburan

Seiring dengan peningkatan jualan coklat di Malaysia, Barry Callebaut – pengeluar terkemuka produk coklat dan koko di pasaran global kini bertindak membuka Hab Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik-nya (APAC BEC) di Kuala Lumpur.

Pembukaan hab ini sekaligus mengukuhkan pangkalan Barry Callebaut selama lebih 30 tahun di pasaran negara dengan nilai pelaburan sekitar RM1.3 bilion. Menerusi usaha baharu ini, jenama akan bertindak membekalkan produk bernilai sekitar RM2 bilion dari Malaysia ke 57 buah negara.

Fungsi hab ini menurut Barry Callebaut akan berperanan menyokong perkhidmatan kewangan, perakaunan, pengurusan maklumat, teknologi, khidmat pelanggan, korporat dan rakan kongsi. Usaha ini dilihat akan menambah-baik operasi jenama di pasaran koko negara.

Adanya pengukuhan ini, ia akan merancakkan lagi permintaan coklat pada pasaran domestik dan meluaskan lagi peluang pekerjaan negara. Untuk makluman, penggunaan tahunan coklat per kapita rakyat Malaysia adalah sekitar 0.5 kilogram dan dijangka pertumbuhan tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa.