Artikel

Hampir 70% Graduan Perlu Bekerja Dalam Skop Sokongan – Untuk Elak Menganggur

Meskipun kadar pengangguran Malaysia semakin menurun kepada paras sebelum pandemik COVID-19, perlu diakui masih terdapat kelompongan pada pasaran negara dalam menawarkan peluang pekerjaan berpaksikan tahap pendidikan mereka.

Dapatan Khazanah Research pada minggu ini berhubung ketidakseimbangan perolehan gaji permulaan dalam kalangan graduan – memperincikan didapati 70% graduan negara kini perlu bekerja dalam skop sokongan, jawatan seperti pengkeranian dan bahagian perkhidmatan untuk mengelakkan dari menganggur.

Situasi ini berlaku susulan ketidaksepadanan peluang pekerjaan negara meningkat kepada 37.5% berbanding 34.4% pada 2019. Perihal ini tersebut ekoran tekanan ekonomi ketika pandemik telah mengurangkan keperluan tenaga kerja negara secara fizikal.

Data ini turut mendapat sokongan Kajian Pengesanan Graduan yang mengukur status pekerjaan graduan selepas menamatkan pengajian mereka – didapati 40% daripada graduan akui perolehan pekerjaan mereka ketika ini tidak memerlukan sebarang kelayakan pendidikan tinggi. Maka tidak hairanlah mengapa penyertaan graduan dalam skop tidak mahir terus meningkat kerana ketiadaan peluang yang saksama pada pasaran negara.

Untuk makluman setiap tahun, dianggarkan negara menghasilkan sekitar 250,000 graduan merentasi pelbagai bidang penggajian di seluruh institusi pendidikan negara dan setakat Julai 2022 didapati lebih 1.6 juta pekerja pendidikan tinggi tidak miliki kerjaya setara dengan kemahiran mereka.