Dalam usaha meningkatkan aliran ekonomi digital negara, Pulau Pinang kini meletakkan sasaran ke arah nirtunai (tanpa tunai) sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Usaha itu menurut pentadbiran negeri akan diperkasakan pada lokasi melibatkan pelancongan utama, perniagaan, penjaja, bahagian runcit, gedung beli-belah, kedai makan serta kawasan pasar.
Dengan langkah ini, ia tidak sekadar membantu Malaysia memanfaatkan kelebihan teknologi tetapi turut membantu negeri mengandakan kutipan hasil. Malah Pulau Pinang turut melihat, aturan ini bakal membuka kemasukan pelaburan asing yang lebih tinggi, susulan ketersediaan negara memacu ekonomi digital.
Buat pengetahuan inisiatif menjadikan negeri ke arah nirtunai sepenuhnya telah mula dilaksanakan sejak April 2020 lagi, apabila beberapa lokasi pasara awam dipilih selaku projek rintis negeri. Tidak hanya itu bermula 2 September 2022, pentadbiran negeri telah mula mewajibkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri menyediakan kemudahan pembayaran nirtunai pada perkhidmatan.
Hasil tersebut secara langsung telah berjaya membawa kepada kutipan hasil negeri sebanyak 2.11 juta transaksi – yang menyumbangkan kepada 71.99% hasil kutipan daripada jumlah keseluruhan iaitu RM620 juta bagi tahun 2022.
Maka bagi melestarikan usaha tersebut, Pulau Pinang kini telah memiliki sokongan 17 institusi perbankan bersama penyedia dompet digital untuk menerapkan pilihan pembayaran nirtunai di seluruh negeri. Pada masa yang sama, kini negeri turut laksana kempen Hari Tanpa Nirtunai bagi merancakkan lagi penyertaan semua pihak dan rakyat sehingga 28 Februari ini.