Artikel

Jumlah Penganggur Di Malaysia Semakin Menurun – Kini 600,900 Individu Dicatatkan

Penurunan kadar pengangguran di Malaysia kepada 3.6%, kini sekaligus mencerminkan pasaran buruh negara bertambah baik dan semakin rancak.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada data November 2022 ini memperlihatkan terdapat pengurangan 1,100 penganggur (0.2%) berbanding bulan sebelumnya. Ini bermakna jumlah penduduk bekerja di Malaysia telah naik kepada 16.11 juta individu.

Mengikut segmen ekonomi, sektor perkhidmatan memaparkan peningkatan jumlah pekerja dalam arena Perdagangan Borong & Runcit, diikuti khidmat Makanan & Minuman serta Maklumat & Komunikasi.

Sementara mengikut status pekerjaan pula, DOSM dapati kategori Pekerja telah naik kepada 12.21 juta, diikuti Penduduk Bekerja Sendiri (2.85 juta individu), Pekerja Keluarga Tanpa Gaji (491,300 individu) dan Majikan (554,500 individu).

Seterusnya berbalik kepada pengangguran – tinjauan turut dapati peratusan tempoh pengangguran terdapat sedikit penurunan dalam kalangan penganggur aktif (individu yang sentiasa mencari peluang pekerjaan).

  • 60.6% individu telah menganggur kurang dari 3 bulan
  • 21.5% individu telah menganggur kurang dari 6 bulan
  • 11.6% individu telah menganggur kurang dari 12 bulan
  • 6.2% individu telah menganggur lebih dari 1 tahun