Artikel

Prasarana Jangka Trafik Naik – Capai 1.2 Juta Penumpang Setiap Hari Pada 2023

Bersempena pembukaan penuh laluan operasi MRT Putrajaya tidak lama lagi, Prasarana menjangkakan purata kapasiti penumpang harian mereka akan meningkat sekitar 1.2 juta penumpang – bagi penggunaan khidmat rel tren dan bas.

Jumlah itu dilihat meningkat berbanding purata 722,000 kapasiti penumpang dicatatkan tahun lalu.

Menurut makluman, adanya penambahan khidmat pengangkutan tren di laluan Putrajaya ini – ia disasar akan memberi manfaat kepada 100,000 penumpang setiap hari dalam penjimatan kos dan masa. Dan dijangka jumlah pertambahan tersebut akan meningkat dari tahun ke tahun.

Setakat ini operasi MRT Putrajaya telahpun dibuka untuk laluan fasa 1 – dengan laluan sepanjang 17.5km itu untuk makluman umum akan melibatkan pembukaan 9 stesen baharu dan 3 stesen asal yang sebahagiannya daripada laluan MRT Kajang. Ianya terdiri daripada;

  • Kwasa Damansara
  • Kampung Selamat
  • Sungai Buloh
  • Damansara Damai
  • Sri Damansara Barat
  • Sri Damansara Sentral
  • Sri Damansara Timur
  • Metro Prima
  • Kepong Baru
  • Jinjang
  • Sri Delima
  • Kampung Batu

Bagi Laluan Fasa 1 ini, terdapat 20 set tren akan tersedia dan membolehkan muatan kapasiti seramai 1,200 penumpang dan terdapat 13 laluan bas perantara turut akan mula beroperasi. Bas-bas itu akan memberi perkhidmatan kepada kawasan perumahan dan komersial yang terletak di dalam kawasan berhampiaran stesen, seperti Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Kepong dan Bandar Baru Selayang.

Sementara untuk operasi laluan fasa 2 pula setakat ini dimaklumkan telah mencapai 98% ujian pelaksanaan – dan dijangka akan beroperasi pada bulan Januari ini. Bagaimanapun tarikh pembukaan tersebut akan dimaklumkan tidak lama lagi.