Artikel

Segelintir Majikan Didapati Tidak Patuh – Gagal Kurangkan Waktu Bekerja Ke 45 Jam Seminggu

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendapati masih terdapat segelintir majikan yang tidak menerapkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 ke atas operasi mereka.

Antaranya melibatkan kegagalan laksana pengurangan waktu bekerja dari 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu. Aduan ini dilihat tidak selari dengan penetapan akta baharu tersebut.

Selain itu didapati juga terdapat perubahan polisi yang dilaksanakan syarikat tanpa mengambilkira persetujuan pekerja. Iaitu melibatkan pembayaran upah ketika waktu rehat namun susulan pengurangan jam bekerja ini, segelintir syarikat tidak lagi melaksanakan polisi pembayaran itu.

MTUC melihat tindakan ini bercanggah dengan matlamat pengurangan waktu bekerja yang ingin dicapai pihak pentadbiran negara. Pengurangan tersebut bertujuan meningkatkan keseimbangan kehidupan bekerja dalam kalangan para pekerja.

Maka susulan terdapat isu yang berbangkit,  MTUC mencadangkan pemantauan secara berkala dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia ke atas setiap syarikat. Ini tidak hanya melibatkan pelaksanaan pengurangan waktu bekerja tetapi turut melibatkan kandungan pindaan seperti penambahan cuti bersalin 60 hari ke 98 hari, dan cuti paterniti 7 hari.

Buat pengetahuan umum, pelaksanaan pindaan ini telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 lalu setelah mengalami penangguhan sejak 1 September 2022.