Artikel

Jumlah IPO Malaysia Disasar Terus Meningkat Pada 2023

Tahun 2023 dijangka akan terus memaparkan peningkatan jumlah tawaran awam permulaan (IPO) tempatan di pasaran negara.

Perkembangan ini menurut Bursa Malaysia akan disokong hasil jangkaan perolehan dana yang lebih besar pada tahun ini susulan banyak kecairan yang berlaku pada pasaran semasa.

Untuk makluman perkembangan ini telah berlaku sejak tahun lalu dengan jumlah 35 IPO dicatatkan, diikuti 30 IPO pada 2021. Manakala dari aspek dana daripada IPO pula didapati sejak 3 tahun lalu telah meningkat daripada RM2 bilion (2020), diikuti RM2.75 bilion (2021) dan RM3.15 bilion (sehingga November 2022).

Sementara berhubung prestasi serantau untuk IPO, Bursa Malaysia kekal menjadi antara bursa teratas di ASEAN dengan jumlah IPO 2022 kedua tertinggi selepas Indonesia.

Adanya petunjuk positif sedemikian, Bursa melihat ini akan menjadi pemacu kepada ketahanan ekonomi Malaysia dalam meningkatkan penyertaan pelabur asing dan domestik pada pasaran modal negara.