#1 Sepanjang 2022, OPR Naik Sebanyak 4 Kali Kini Capai 2.75%
Setelah sekian lama Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di paras 1.75% sejak Julai 2020 susulan situasi COVID-19, tahun 2022 menjadi pencetus buat negara untuk meningkatkan semula kadar tersebut di paras normal.
Langkah itu dicapai bermula Mei 2022 lalu, di mana Bank Negara Malaysia (BNM) melalui perbincangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah sebulat suara bersetuju menaikkan paras OPR ke 2.00%, seterusnya ke 2.25% pada Julai 2022, ke 2.50% pada September 2022 dan terbaharu dinaikkan ke 2.75% pada November lalu.
Peningkatan itu secara langsung menunjukkan Malaysia telah alami kenaikan OPR sekitar 100 bps bagi sepanjang tahun 2022.
Mengikut pengamatan BNM, kenaikan OPR ke paras normal ini adalah hasil tindak-balas penyedia ekonomi Malaysia ke atas tekanan inflasi di peringkat domestik. Malah status Ringgit negara yang telah mencapai penyusutan 13.9% pada tahun ini turut mendorong kepada lonjakan OPR di Malaysia.
#2 Seramai 15,293 Ekspatriat Tidak Memiliki Fail Cukai LHDN
Pada Mac 2022, rakyat Malaysia dikejutkan dengan makluman bahawa seramai 15,293 ekspatriat atau kumpulan pegawai warga asing yang tinggal di negara tidak memiliki fail cukai LHDN. Ini bermakna kumpulan tersebut tidak melunaskan tanggunjawab mereka terdapat negara yang didiami.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu mendapati situasi sedemikian telah membawa kepada tunggakan hasil sekitar RM65.90 juta yang melibatkan 7,174 ekspatriat. Lebih membimbangkan, ada diantara kumpulan ini yang memiliki tunggakan cukai lebih 9 tahun.
Situasi tersebut secara langsung menjadi antara faktor mengapa hasil negara tidak mencapai perolehan yang setimpal dengan sasarannya.
#3 Malaysia Bakal Miliki 5 Penyedia Bank Digital, Pinjaman Lebih Mudah Buat Pekerja Rencam
Hasil perolehan 29 permohonan calon lesen bank digital daripada pelbagai entiti dan konsortium, BNM pada April lalu telah mencapai keputusan, secara rasminya meluluskan perolehan bank digital kepada 5 konsortium ini;
Pertama – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK):
- Konsortium Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB Bank Berhad;
- Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd; dan
- Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd;
Kedua – Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI):
- Konsortium AEON Financial Service Co., Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc dan
- Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn. Bhd.
Berikutan pengumuman ini, ia sekaligus akan membuka peluang kepada orang awam untuk memiliki akses pembiayaan bersama perbankan digital, antaranya pekerja rencam. Iaitu kumpulan yang tidak memiliki slip gaji atau pengukuhan dokumentasi dalam perolehan pinjaman bersama bank.
#4 Perlis Ingin Laksana Sistem Pembayaran Nirtunai, Guna Kad Khas Di Sekolah
Nirtunai atau tanpa tunai, adalah antara kaedah pembayaran cukup meluas di Malaysia pada ketika ini. Ia tidak sekadar mudah, menjimatkan masa dan menjamin perbelanjaan tepat – namun ia menjadi satu alternatif pembayaran yang digemari ramai, kerana mengurangkan kontak sosial tanpa menjejaskan kesejahteraan semua pihak.
Kini sistem pembayaran tersebut bakal dilaksanakan Perlis dibawah semakan Jabatan Pendidikan Negeri tersebut.
Usaha menarik ini telah dimaklumkan pada pertengahan April lalu, di mana JPN Perlis akan perkenalkan kad khas untuk kegunaan para pelajar dalam sistem pembayaran. Ia meliputi pembayaran di koperasi, kantin, pejabat sekolah dan bahagian pinjaman buku.
Malah manfaat inisiatif itu tidak sekadar memberi pendedahan kepada pelajar akan akses nirtunai tetapi turut menyasarkan saluran tersebut sebagai medium agihan bantuan buat pelajar B40. Adanya saluran ini, ia akan memudahkan lagi KPM laksana bantuan tunai secara bersasar secara nirtunai di masa hadapan kelak.
#5 Nilai Kriptowang Semakin Jatuh
Sejak awal tahun 2022, aliran kriptowang pada pasaran dilihat mulai merundum – apabila berdepan kehilangan lebih $1 trilion nilai pasaran susulan ketidaktentuan permintaan semasa.
Malah penurunan tersebut berterusan berlaku apabila pada akhir Ogos, nilai Bitocin mula memperlihatkan kejatuhan dibawah RM90,000 dan kini di paras lebih RM73,000.
Kejatuhan tersebut didapati kesan perubahan polisi Amerika Syarikat dan tekanan perlindungan yang dilaksana beberapa negara susulan risiko pelaburan kriptowang yang semakin meruncing.
Selain Bitcoin, penyusutan aliran ini turut membawa impak kepada nilai kriptowang lain seperti Ethereum, BNB, dan terbaharu Solana.
#6 Negara Kekurangan Stok Telur, Ayam Dan Alami Kenaikan Harga Makanan
Kepincangan harga mula diperlihat pada tahun ini, apabila kesan ketirisan bekalan bahan mentah seperti stok ayam, telur serta bahan ternakan negara telah membawa kepada kenaikan harga dalam pasaran makanan.
Buat pengetahuan umum, setakat Oktober lalu Malaysia mengalami pengurangan 96 juta telur ayam sebulan ekoran tindakan segelintir pengeluar melaksanakan pelupusan ayam matang yang telah melepasi tahap usianya. Langkah itu secara langsung menjejaskan dinamik penghasilan telur ayam negara. Untuk makluman, Malaysia setiap bulan memerlukan sekitar 968.8 juta bekalan telur ayam untuk penuhi permintaan semasa akan tetapi jumlah tersebut semakin menurun kepada 871.9 juta.
Malah kekurangan stok ayam juga telah mengakibatkan negara menghentikan seketika eksport ayam hidup ke luar negara – bagi mengutamakan keperluan domestik.
Selain bahan mentah sedemikian, kesan perubahan cuaca turut menjejaskan pengeluaran stok bekalan sayuran dan perikanan. Ia sekaligus melonjakkan lagi pasaran makanan di Malaysia.
#7 Tekanan Kos Dorong Syarikat Berhentikan Sejumlah Pekerja, Tamatkan Operasi
Tahun 2022 sememangnya boleh dinobatkan sebagai tahun kebanyakan syarikat memilih untuk membuang sejumlah pekerja mereka – bagi meneruskan kelangsungan operasi. Antaranya seperti Shopee, Carsome, Twitter, dan Meta.
Dan tidak hanya itu, segelintir syarikat juga turut mengambil langkah drastik dengan menutup operasi syarikat mereka. Antara yang berlaku di pasaran Malaysia adalah jenama seperti e-Pay umum tutup operasi EVE pada April lalu, diikuti Kaodim iaitu startup tempatan yang menawarkan perkhidmatan pelbagai tugas upahan mengumumkan tutup operasi pada Julai lalu.
Selain itu HappyFresh turut mengorak langkah yang sama dengan mengumumkan penutupan ooperasi di Malaysia pada 22 September dan seterusnya terbaharu adalah penamatan operasi Nationwide Express, perkhidmatan kurier yang telah bertapat selama 37 tahu di Malaysia.
Rata-rata syarikat yang terjejas ini adalah disebabkan kesan kerugian yang terpaksa ditanggung mereka ketika pandemik COVID-19, dan selanjutnya tekanan inflasi serta ketidakseimbangan ekonomi global turut mencorak aliran negatif pada industri mereka.
#8 EV Semakin Meluas Di Malaysia, Termasuklah Penggunaan Bas Elektrik Pada Khidmat Awam Mulai 2024
Dalam beberapa tahun mendatang, negara menjangkakan pasaran EV di Malaysia akan melonjak lebihi 31%.
Sasaran positif ini turut diperkukuhkan lagi dengan jangkaan Proton, pengeluar kenderaan tempatan untuk meneroka pembabitannya pada EV pertama mereka menjelang 2027 kelak. Selain Proton, khidmat pengangkutan awam negara iaitu Prasarana turut memaklumkan bakal sedia 100 bas elektrik menjelang tahun 2024 kelak – bagi kegunaan awam.
Menerusi matlamat sedemikian, ia membawa cerminan bahawa infrastruktur pengecas EV dalam tempoh tersebut semakin meluas dengan jangkaan sekitar 18,000 pengecas EV tersedia di seluruh Malaysia dan berupaya menampung lebih 524,000 unit EV yang dikuasakan bateri (BEV) pada jalan raya kelak.
Adanya sokongan infrastruktur ini, ia akan membawa kepada pengurangan 4.4 juta tan pelepasan karbon dioksida oleh Malaysia tidak lama lagi.
#9 Malaysia Sasar 1,000 Hartawan Global Menetap Di Negara – Melalui Program Visa Premium
Program Visa Premium atau PVIP berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan telah mula dilancarkan negara pada 1 September lalu.
Pengenalan pelan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini telah manyasarkan seramai 1,000 hartawan bersama anggaran hasil negara mencapai RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion untuk masuk, menetap di Malaysia.
Agenda ini secara amnya adalah untuk meningkatkan kemasukan pelaburan asing di pasaran tempatan dan membawa negara meneroka segmen pelaburan baharu, di samping membantu Malaysia mengukuhkan ekosistem pasaran buruh dari semasa ke semasa.
#10 Status Tunai Rakyat Malaysia Semakin Menjunam, Didapati 63% Tidak Mampu Bertahan Lebih 3 Bulan Wang Simpanan
Tatkala dunia sedang bersiap sedia depani jangkaan kelembapan ekonomi pada tahun 2023, ternyata status tunai rakyat Malaysia tidak menunjukkan persediaan tersebut apabila – didapati 63% akui tidak mampu bertahan bersama wang simpanan mereka, tidak lebih dari 3 bulan.
Lebih membimbangkan sekitar 7 daripada 10 rakyat negara hanya mampu menyimpan kurang dari RM500 sebulan sahaja dan 55% rakyat negara didapati membelanjakan tepat atau lebih daripada pendapatan mereka setiap bulan.
Situasi ini secara jelas merangkumkan betapa tingginya tekanan kos pada tahun 2022, yang terpaksa didepani rakyat negara. Tekanan tersebut turut meliputi ketirisan dana persaraan rakyat negara – di mana sejumlah RM145 bilion telah dikeluarkan dari KWSP setakat akhir Jun 2022.