Artikel

LHDN Maklum Beberapa Sistem Pembayaran Akan Tergendala, Ingin Naik-Taraf Khidmat

Selaras dengan perkembangan sistem semasa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini memaklumkan pihaknya akan menaik-taraf sistem dalaman platform yang dijangka  selesai sepenuhnya pada 1 Januari 2023. Langkah itu sekaligus akan membawa kepada beberapa penutupan saluran perkhidmatan bayaran.

Proses naik-taraf ini antaranya akan memberi kesan bagi bayaran di kaunter Pusat Bayaran dan Terminal Kad Kredit/Debit di Kaunter Pusat Bayaran LHDN seluruh negara iaitu bermula pada 30 Disember 2022.

Sementara khidmat bayaran melalui FPX-ByrHASiL dan Sistem e-TT pula tarikh akhir adalah pada 28 Disember 2022. Ia akan ditutup bermula 29 Disember 2022, pada jam 12.01 pagi.

Namun orang awam tidak perlu khuatir, khidmat FPX-ByrHASiL yang ditutup sementara akan mula dibuka semula pada 1 Januari, manakala bayaran menggunakan Nombor VA melalui janaan di Sistem e-TT hanya boleh dibuat bermula 3 Januari 2023 pukul 8.00 pagi.

Manakala untuk saluran pembayaran menerusi bank komersial yang dilantik oleh LHDN serta saluran bayaaran di kaunter Pos Malaysia pula – dimaklumkan tidak akan terlibat dalam tempoh penyelenggaraan, ia beroperasi seperti biasa.

Adanya makluman ini, diharap semua pihak yang terlibat peka akan pengaturan pembayaran bersama LHDN. Sebarang makluman lanjut boleh rujuk pada Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau layari ke laman rasmi LHDN.