Artikel

Tiada Keperluan Mendesak, Harga Jualan Purata Sarung Tangan Semakin Susut

Ketiadaan keperluan yang mendesak, kini telah membawa kepada kemerosotan pada jualan sarung tangan getah nitril dan asli di pasaran negara. Ekoran situasi sedemikian, dijangka harga jualan purata (ASP) sarung tangan akan terus menurun disebabkan dinamik pasaran yang kekal lemah.

Situasi ini menurut Top Glove Corporation Bhd tercetus kesan daripada ketidakpadanan dalam permintaan dan bekalan sarung tangan. Apabila bekalan menyaksikan lebihan, ia secara terus memberi tekanan kepada pasaran – dari aspek penawaran harga serta jumlah jualan yang direkodkan.

Susulan itu, setakat suku pertama yang berakhir 30 November lalu – Top Glove telah mencatatkan kerugian sebanyak RM168.24 juta dengan jumlah jualan telah berkurangan sebanyak 48% bagi rekod tahun-ke-tahun.

Bagaimanapun Top Glove kekal optimis akan ASP sarung tangan yang dijangka kembali normal dalam tempoh 6 bulan mendatang. Ini didorong dengan jangkaan peningkatan permintaan sebanyak 10% bagi setiap tahun, susulan tahap kesedaran kebersihan awam dijangka akan terus meningkat selepas pandemik COVID-19.