Binance, salah satu bursa dagangan kriptowang popular kini berkongsi memo dalaman, dimana mereka menyasarkan beberapa bulan akan datang lebih mencabar berbanding sebelum ini.
Hal ini dikongsikan selepas kejatuhan FTX, selain pelbagai persoalan yang timbul berkaitan Binance. Orang ramai juga telah mengeluarkan dana yang tinggi dari Binance pada minggu ini, membuatkan mereka turut menghentikan beberapa ciri-ciri untuk sementara.
Sebelum ini, ramai telah meminta Binance lebih terbuka berkaitan pegangan mereka, dan Binance menyatakan mereka mempunyai simpanan pada nisbah 101% terhadap pegangan aset pengguna – dan bukan seperti beberapa bursa dagangan lain yang tidak mempunyai nilai simpanan setara.
Walaubagaimanapun, beberapa pihak masih skeptikal berkaitan perkara ini.
Arena kriptowang sendiri memperlihatkan penurunan nilai sepanjang 2022 ini, dan turut melihat beberapa kriptowang yang jatuh nilainya, selain beberapa syarikat kriptowang yang dianggap bagus dilihat tidak telus dan jatuh muflis.