Bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA, dijangka dapat menjimatkan kos bahan bakar hampir RM500 juta setahun melalui pelaksanaan sistem baharu pendaratan iaitu Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STARs) – yang akan bertindak memendekkan laluan mendarat pesawat.
Tidak hanya kos, Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut memaklumkan pendekatan sistem ini turut akan membantu mengurangkan masa menunggu antara 18-22 minit atau penjimatan jarak 44-67 batu nautika.
Ini bermakna perjalanan penumpang akan lebih efisien iaitu tepat pada masa atau boleh laksana penerbangan lebih awal daripada penjadualan.
Makluman tersebut bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam (12 Disember) turut memaklumkan ia dapat mengoptimumkan kapasiti 108 penerbangan dalam tempoh 1 jam berbanding anggaran 50 pesawat pada masa ini. Maka ia secara langsung juga aka membantu operasi kepada pengurangan pelepasan karbon.
Berdasarkan jangkaan, sistem baharu ini akan dilaksana pada 18 Mei 2023 kelak dan tempoh itu diperlukan bagi memastikan persediaan pegawai trafik udara akan pemahaman sistem tersebut.
Menerusi penjimatan ini ia dlihat tidak sekadar meningkatkan kecekapan penerbangan bahkan ini turut berpotensi membawa kepada penurunan harga tiket penerbangan kelak buat pengguna.