Artikel

Prasarana Cadang Sedia 100 Bas Elektrik Pada 2024

Menjelang tahun 2024, Prasarana Malaysia Bhd memaklumkan ketersediaan pihaknya menambah lebih 300 perkhidmatan bas – ini termasuklah 100 bas elektrik bersama nilai peruntukan keseluruhan RM180 juta.

Langkah pertambahan khidmat bas ini bertujuan memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penduduk negara. Usaha ini akan dilaksanakan setelah pembukaan tender pada suku pertama 2023 dicapai. Ini merangkumi pembangunan naik-taraf infrastruktur dan kabel elektrik di depoh stesen.

Buat masa ini, terdapat 1,540 buah bas RapidKL telah tersedia namun hanya 1,183 sahaja beroperasi setiap hari. Untuk makluman jumlah ini dilihat lebih kecil berbanding pengangkutan awam yang tersedia di Singapura.

Berhubung penyediaan bas elektrik, Prasarana mengikut Bernama akan memperkenalkan 45 bas mini elektrik dengan ukuran panjang antara 7m hingga 8m, diikuti 55 bas elektrik bersaiz besar dengan ukuran 10 hingga 12m.

Untuk makluman penyediaan bas mini akan dilaksanakan pada lokasi yang sempit dan memiliki kepadatan yang sibuk antaranya seperti kawasan perumahan dan dijamin kekerapan untuk khidmat bas ini tinggi.

Seperti yang umum ketahui, Prasarana sebelum ini telah laksana percubaan selama 3 bulan bagi penggunaan bas elektrik merangkumi Laluan 400 – Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan seterusnya di Laluan 650 – Taman Desa ke Hab Pasar Seni.