Pada tahun 2023, terdapat jangkaan perbelanjaan iklan di negara akan meningkat 9% pertumbuhan dengan mencapai angka RM6.6 bilion. Setakat ini, pendapatan tersebut berjaya mencapai pertumbuhan 13% kepada RM6.0 bilion dengan lonjakan pengiklanan hasil pembukaan ekonomi setelah pandemik COVID-19.
Antaranya disumbangkan oleh pengiklanan di skrin pawagam yang telah naik sebanyak 281%, diikuti perbelanjaan pengiklanan digital yang disumbangkan oleh peranti mudah alih yang diterajui media sosial 20%, bahagian carian 16% dan video 13%. Peningkatan ini didorong hasil pembukaan ekonomi sosial dan pendedahan peranti pintar kalangan pengguna.
Melihat pada perolehan ini pada laporan Mediabrands Malaysia, sasaran pertumbuhan 9% kelak sebahagiannya akan didorong oleh penyertaan pengiklanan digital yang dijangka berkembang sebanyak 13% dan disasarkan menjelang 2027, format pengiklanan digital akan mendominasi 75% daripada jumlah hasil belanjawan pengiklanan di Malaysia.
Aliran persaingan itu telah mula diperlihat apabila syarikat media tradisional seperti televisyen dan penerbitan menyaksikan pendapatan pengikalanan mereka sekadar meningkat 2.5%, manakala syarikat media digital pula meraih 9% pertumbuhan.
Jurang hasil ini secara jelas menunjukkan jenama media digital terus jadi pilihan dalam pelbagai platform. Selain perbezaan medium, kesan ekonomi global turut membawa kesan kepada pengiklanan negara seperti segmen automotif yang ketika ini masih kurang pasti akan ketidaktentuan komponen kenderaan di masa hadapan sekiranya berlaku ketirisan bekalan global.