Pencapaian suku ketiga yang berakhir pada 31 Oktober lalu memperlihatkan Sapura Energy berjaya meraih keuntungan bersih sekitar RM10.18 juta, berbanding kerugian berjumlah RM669.34 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun 2021.
Prestasi yang lebih baik ini didorong hasil susut nilai yang lebih rendah bersama perolehan keuntungan yang tinggi daripada syarikat bersekutu, diikuti keuntungan daripada pertukaran asing yang mengalakkan.
Makluman kepada Bursa Malaysia itu bagaimanapun memperlihatkan pendapatan kumpulan telah menyusut 12.4% kepaa RM1.28 bilion berbanding RM1.46 bilion sebelum ini. Situasi penurunan ini turut dipengaruhi hasil yang lebih rendah pada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Manakala untuk prestasi keseluruhan bagi tempoh 9 bulan tahun 2022 – Sapura telah merekodkan untung bersih sebanyak RM99.53 juta bersama nilai pendapatan RM3.33 bilion untuk suku semasa.
Berhubung usaha kumpulan untuk tangani isu hutang tidak mampan dan status Nota Amalan 17 (PN17) – pihaknya kini sedang melaksanakan Bukti Hutang Kumpulan (POD) dengan pemiutang dagangannya dan kumpulan juga telah kemukakan Cadangan Skim Penstrukturan Semula (PRS) kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) serta institusi kewangan pada akhir September lalu.
Langkah ini tidak sekadar membantu operasi memperhalusi kriteria PRS dan dibawa kepada Bursa Malaysia – tetapi kelak turut akan menambahbaik aliran tunai Sapura secara menyeluruh.