Boost, syarikat fintech negara kini membolehkan para pelancong Thailand nikmati kaedah pembayaran secara terus menggunakan DuitNow QR di aplikasi mereka ketika berada di Malaysia.
Ini bermakna, para pelancong Thailand tidak perlu khuatir sekiranya tidak memiliki wang tunai Ringgit untuk berbelanja di pasaran Malaysia, mereka hanya perlu mengimbas kod QR DuitNow Boost dan selanjutnya akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam Ringgit Malaysia (MYR), dan tukaran automatik akan dipotong daripada dompet digital negara asal mereka. Bagi peniaga Boost, mereka akan terus menerima bayaran dalam RM.
Setakat ini, hampir 200,000 peniaga tempatan telah menyediakan kemudahan QR DuitNow Boost di tempat pelancongan serata Malaysia.
Bagi fasa pertama, kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand. Institusi kewangan Thailand yang turut serta untuk mengimbas Kod QR DuitNow Boost di Malaysia ialah CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.
Selain Thailand, Boost turut memiliki sasaran untuk meluaskan pembayaran QR rentas sempadan ini ke pelancong Indonesia dan Singapura dalam tempoh beberapa bulan mendatang.