Hari ini (2 Disember) YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan Senarai Jemaah Menteri baharu bagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan negara untuk 2022.
Apa yang menarik perhatian adalah posisi Menteri Kewangan disandang sendiri oleh PM Anwar untuk pembentukan kerajaan baharu ini, sambil disokong Menteri Ekonomi baharu iaitu Rafizi Ramli. Mari kita rungkai serba ringkas latarbelakang kedua-dua Menteri ini.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim – Perdana Menteri / Menteri Kewangan Malaysia 2022
Pengalamannya tidak asing lagi dalam sektor kewangan negara kerana PM Anwar pernah memegang jawatan selaku Menteri Kewangan dalam tempoh 1990 hingga 1998, dan dalam tempoh 1993 hingga 1998 – beliau turut memegang jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Buat pengetahuan umum, sepanjang menjadi Menteri Kewangan sebelum ini – PM Anwar telah berjaya menempa nama dengan menjadi Menteri Kewangan Terbaik Dunia oleh EuroMoney bagi tahun 1993, diikuti Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh AsiaMoney pada tahun 1996.
Pengetahuan dan pengiktirafan itu secara langsung bakal menjadi daya pengukur buat Malaysia menyeimbangkan kembali prestasi ekonomi negara di persada antarabangsa.
Rafizi Ramli – Menteri Ekonomi Malaysia 2022
Seterusnya wajah baharu dalam kabinet Malaysia kali ini adalah Rafizi Ramli, yang telah dipilih menyandang jawatan Menteri Ekonomi Malaysia baharu.
Untuk makluman nama Rafizi bukanlah nama baharu dalam arena politik negara, susulan langkah agresifnya lantang menyuarakan pelbagai isu berkaitan korupsi dan penyalahgunaan wang di Malaysia.
Persona yang menyakinkan ini, sebenar tidak menghairankan kerana untuk makluman Rafizi sebelum ini pernah berkhidmat di firma Jeffreys Henry Chartered Accountants, London ketika 1999 sehingga 2003. Seterusnya melanjutkan peranannya selaku ahli Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) pada 2003 dan Malaysian Institute of Accountants (MIA) pada 2003 apabila pulang ke Malaysia.
Rafizi juga pernah berkhidmat di Petronas/MTBE Malaysia Sdn Bhd sehingga 2005 dan menjadi Pengurus di Propane Dehydrogenation Plant.
Lebih menarik peralihan kerjayanya ke Petronas Carigali ketika 2007hingga 2009 telah membawa beliau menjadi Pengurus Kanan bagi Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa. Malah Rafizi turut pernah berkhidmat selaku Ketua Eksekutif di pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sehingga 2012.
Setelah itu, bermulalah langkah Rafizi dalam arena politik negara yang kini telah mengangkatnya selaku Menteri Ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia 2022.