Artikel

CIMB Maklum Pengguna Perlu Sahkan Transaksi RM100 Ke Atas, Melalui SecureTAC

Selari dengan langkah penggunaan SecureTAC sepenuhnya menjelang suku pertama 2023, CIMB kini memulakan langkah menerapkan kaedah keselamatan itu pada aplikasi CIMB Clicks dan CIMB OCTO untuk kelulusan transaksi RM100 dan ke atas.

Malah bermula 5 Disember ini, penerapan SecureTAC turut akan dikuatkuasakan pada transaksi RM100 dan ke atas yang dijalankan di laman web CIMB Clicks. Ini merangkumi aktiviti pemindahan dana, pembayaran bil dan tambah nilai prabayar.

CIMB juga turut bercadang untuk melanjutkan pengesahan SecureTAC ini bagi tindakan transaksi RM100 ke bawah namun langkah itu didapati akan berlaku pada suku pertama 2023 kelak.

Selain menaiktaraf kaedah keselamatan ini, CIMB mulai 26 Disember kelak akan melaksanakan proses pengesahan baharu ke atas pelanggan baharu atau pelanggan yang mengaktifkan aplikasi perbankan di peranti pintar baharu dengan pengesahan panggiilan.

Ini bermakna pengaktifan aplikasi CIMB Clicks dan CIMB OCTO hanya akan berlaku setelah pengguna menerima panggilan pengesahan pendaftaran dari perbankan dalam tempoh 24 jam. Jika tidak menerima sebarang pengesahan panggilan, ID CIMB Clicks pengguna akan dinyahaktifkan sebagai langkah keselamatan.

Maka untuk memahami penjelasan lanjut, para pelanggan boleh merujuk kepada laman rasmi CIMB Clicks atau hubungi pusat perhubungan di talian +603-6204 7788.