Artikel

5 Syarikat Kripto Telah Jatuh Muflis Pada 2022

Tiada pihak yang menyangka tahun 2022 akan menjadi detik yang sukar buat industri kripto, apabila didapati terdapat 5 syarikat kripto utama diisytiharkan muflis sepanjang tahun ini.

Antaranya adalah FTX, BlockFi, Three Arrows Capital (3AC), Voyager Digital dan Celcius Network.

Mengikut perincian Reuters ini, FTX telah alami kejatuhan susulan penyaluran deposit pelanggan kepada firma perdagangan gabungannya Alameda Research mengakibatkan sejumlah pengeluaran $6 bilion berlaku dalam tempoh 72 hari. Ini sekaligus mengakibatkan FTX diisytihar muflis seminggu selepas tindakan gabungannya bersama Binance gagal.

Kejatuhan tersebut secara langsung turut memberi kesan kepada BlockFi, susulan bergantung kepada kemudahan kredit FTX bernilai $400 juta.

Seterusnya Three Arrows Capital (3AC) turut diisytiharkan bankrap selepas kejatuhan kriptowang Luna dan TerraUSD. Pengisytiharan tersebut turut memberi kesan kepada Voyager disebabkan kegagalan 3AC membayar pinjaman kripto bernilai lebih $650 juta.

Selain 3AC, Celcius Network turut alami kejatuhan rentetan isu Luna dan TerraUSD, yang turut membawa kepada status muflis pada Julai lalu.