Artikel

Kerajaan Johor Sasar Perkasa Nirtunai, Tingkatkan Hasil Melalui JohorPay

Sejak diperkenal pada Oktober 2021, kementerian negeri pada sidang Belanjawan 2023 pada hari ini memaklumkan akan meningkatkan ciri pembayaran melalui aplikasi JohorPay untuk merancakkan kutipan hasil buat negeri.

Walaupun aplikasi ini telah menyediakan medium pembayaran bagi sejumlah perkhidmatan agensi kerajaan, Menteri Besar Onn Hafiz memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pendigitalan pada sistem pentadbiran kerajaan untuk memperkasakan lagi urusan pembayaran secara atas talian. Ini merangkumi inisiatif tambahan seperti khidmat bayaran Veterinar, perhutanan serta Badan Berkanun pada JohorPay.

Lebih menarik mod pembayaran pada aplikasi ini juga tidak sekadar menyediakan transaksi secara FPX, kad kredit dan kad debit tetapi kelak turut akan menyediakan kemudahan transaksi secara DuitNow.

Berdasarkan sasaran dalam usaha tingkatkan hasil kerajaan negeri itu, Johor meletakkan sasaran penggunaan pembayaran melalui JohorPay akan mencapai 70% menjelang 2025 kelak.