Artikel

Jumlah Tunggakan Bil Pengguna Air Kelantan Kini Cecah RM28.5 Juta

Kelantan ketika ini merekodkan jumlah tunggakan bil air pengguna sebanyak RM28.5 juta, setakat September lalu. Data ini dilihat lebih rendah berbanding tunggakan yang dicatatkan pada Disember 2021 sekitar RM33.2 juta.

Isu tunggakan ini berlaku rentetan penduduk negeri yang masih bergelut, menyeimbangkan aliran ekonomi mereka kesan daripada pandemik COVID-19 sebelum ini. Untuk makluman, sekitar RM18.4 juta tunggakan disumbangkan oleh pengguna domestik negeri.

Berdasarkan perkongsian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan pihaknya akan mempergiatkan aktiviti kutipan melalui pemantauan khususnya di kawasan yang tidak memiliki isu bekalan air bersih.

Buat pengetahuan umum, bagi pengguna yang melebihi tunggakan selama 3 bulan berturut dan notis pembayaran melebihi RM1,000 akan berdepan penggantungan akaun perolehan air lokasi mereka. Sementara yang memiliki notis bil kurang daripada RM1,000 pula akan berdepan rundingan pembayaran bersama pihak berkuasa.