Bagi meningkatkan manfaat pasaran modal negara, Bursa Malaysia kini tampil dengan skim menderma sekuriti tersenarai melalui Shares2share – membolehkan pelabur agihkan hasil jualan saham kepada badan kebajikan melalui Yayasan Bursa Malaysia.
Shares2share membolehkan pelabur menderma saham mereka yang disenaraikan di Bursa Malaysia, meliputi lot biasa (board lot) ataupun lot ganjil (odd lot). Skim ini memudahkan pelabur untuk mendermakan lot ganjil mereka dengan lebih mudah bagi meringankan portfolio.
Ini kerana, perdagangan lot ganjil mungkin memerlukan pelabur menanggung kos pembubaran lebih tinggi. Data Bursa sehingga 30 Oktober lalu, menunjukkan terdapat sejumlah 80.8 juta unit saham lot ganjil dalam akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) kini direkodkan.
Melalui pengenalan skim ini, sebahagian rekod itu berupaya didermakan untuk tujuan amal.
Untuk makluman, usaha pengenalan skim ini bagi peringkat awal akan melibatkan beberapa penyertaan badan kebajikan terpilih bersama sokongan Suruhanjaya Sekuriti (SC) antaranya;
- Cancer Research Malaysia
- Hope Mission Welfare Society of Teluk Intan Perak
- Malaysian Relief Agency Foundation
- Mercy Malaysia
- National Cancer Society Malaysia
- Pertubuhan Kebajikan Mental Selangor
- The Pure Life Society
- United Voice
- Yayasan Orang Buta Malaysia
Dan dijangka jumlah badan amal itu akan mengalami pertambahan dari semasa ke semasa.