Artikel

Hanya 55.5% Wanita Sertai Sektor Ekonomi Malaysia, Masih Rendah – DOSM

Walaupun jurang Indeks Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan penurunan kepada 0.707 pada tahun 2021, namun ia tidak menidakkan kenyataan bahawa penyertaan wanita dalam sektor ekonomi negara masih lagi rendah.

Mengikut kategori Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) di bawah tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyertaan wanita dalam sektor ekonomi sekitar 55.5% manakala lelaki pula 80.9%. Situasi ini dilihat bercanggah dengan tahap pendidikan bagi kedua jantina.

Ini kerana wanita pada setiap peringkat pendidikan kekal mendahului lelaki dengan peringkat rendah 98.4%, peringkat menengah 94.5% dan peringkat tertiari pula 47.5%.

Namun perbezaan kadar penyertaan jantina di Malaysia ini turut dibezakan dengan anggaran perolehan gaji di mana tatkala lelaki menerima anggaran pendapatan sekitar RM37,020, wanita pula di paras RM35,616.

Manakala penyertaan wanita dalam segmen pengurusan penting seperti penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus sekitar 24% dibandingkan lelaki dengan 76%, diikuti penguasaan dalam politik kekal rendah sekitar 14.9%.