Artikel

Selangor Bakal Sedia Khidmat Van Untuk Penduduk, Tempah Melalui Aplikasi – Mulai 2023

Belanjawan Selangor 2023 pada pembentangan hari ini (25 November) memperlihatkan penambahbaikan sistem pengangkutan negeri bagi memudahkan perjalanan penduduk khususnya untuk yang berada di kawasan sempit dan padat.

Maka melalui penelitian itu, Selangor kelak akan menjenamakan sistem pengangkutannya kepada Selangor Mobiliti – yang menyediakan kemudahan Bas Smart Selangor bersama Van On-Demand untuk kegunaan rakyat negeri dengan peruntukan RM25 juta.

Menerusi usaha ini menurut Menteri Besar Amirudin Shari, khidmat Van On-Demand akan berfungsi sepertimana arena tempahan seru-pandu dilaksanakan ketika ini dalam pasaran perkhidmatan Malaysia.

Itu bermakna, para pengguna yang memerlukan pengangkutan van perlu laksana tempahan melalui aplikasi dan khidmat itu akan dimulakan pada suku pertama 2023 kelak.

Adanya inisiatif ini, ia akan memudahkan perjalanan rakyat negeri di segenap kawasan khususnya ketika berdepan situasi krisis seperti penangguhan pengangkutan awam atau isu berbangkit lain. Dan seterusnya akan mencapai matlamat Selangor untuk memiliki penggunaan pengangkutan awam negeri sekitar 40% menjelang 2030 kelak.