Bermula tengah malam ini, MYAirline akan memulakan jualan tiket penerbangannya buat tatapan awam bagi perjalanan laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.
Tindakan syarikat penerbangan tambang rendah baharu ini sekaligus memaklumkan ia akan memulakan perjalanan pada awal Disember kelak berdasarkan tawaran tempoh tiket yang akan dilakukan pada malam ini.
Maka bersempena operasi itu, MYAirline kini menampilkan tawaran menarik – harga tambang serendah RM48 dari Kuala Lumpur ke Langkawi manakala tambang untuk destinasi Kuching dan Kota Kinabalu pula masing-masing sekitar dari RM68 dan RM88.
Promosi ini akan tersedia bermula jam 12.01 tengah malam ini sehingga 30 November untuk tempoh perjalanan pada tarikh 1 Disember sehingga 25 Mac 2023 kelak. Selain 3 laluan domestik tersebut MYAirline turut merancang meluaskan khidmat perjalanan mereka ke Kota Bharu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Alor Setar, Terengganu dan beberapa destinasi utama lain di Malaysia setelah meraih kelulusan pengawal selia.