Artikel

PM Anwar Ibrahim Umum Tolak Gaji Perdana Menteri Malaysia

Usai melalui sesi lantikan rasmi di Istana Negara, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media pertamanya memaklumkan terdapat beberapa fokus akan digariskan dalam memacu ekonomi Malaysia bersama Kerajaan Perpaduan.

Antaranya adalah untuk meningkatkan pelaburan negara yang ketika ini memperlihatkan corak positif pada peningkatan alirannya di Bursa Malaysia. Tidak hanya itu, PM Anwar turut menjelaskan prinsip Kerajaan Perpaduan di bawah tampuknya tidak akan sesekali mengambil enteng khususnya melibatkan isu rasuah.

Malah berhubung pembentangan Bajet 2023 pula, PM Anwar menjelaskan pihaknya akan meneliti kembali aliran agihan setelah pembentukan kerajaan baharu terbina dan akan dipaparkan kepada perhatian rakyat negara. Manakala berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri, PM Anwar memberi gambaran kedudukan tersebut akan dilantik dalam kalangan Barisan Nasional dan GPS bagi pembentukan kerajaan baharu kelak.

Pelantikan ini dilihat seiring dengan gagasan Kerajaan Perpaduan yang akan dibentuk oleh PH bersama BN dan GPS.

Pada masa yang sama Anwar turut memaklumkan dirinya akan menolak perolehan gaji selaku pemimpin negara atas faktor kepentingan rakyat didahulukan. Malah pihaknya turut bersedia untuk melaksanakan langkah undi tidak percaya dan angkat sumpah pada pembukaan Parlimen kelak bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk menilai keabsahan kedudukannya selaku PM Malaysia ke 10.

Lebih menarik pada sidang sebentar tadi juga, PM Anwar Ibrahim turut mengumumkan cuti peristiwa pada 28 November ini kepada rakyat Malaysia bersempena pembentukan kerajaan baharu ini.