Artikel

Bursa Malaysia Memperlihatkan Peningkatan Susulan Pengumuman PM10

Bursa Malaysia pada sesi dagangan awal hari ini memperlihatkan sentimen pasaran kembali mengukuh susulan langkah Fed mengusulkan tahap kenaikan kadar faedah diperlahankan dan lebih menarik sentimen postif ini dijangka terus mengukuh rentetan pengumuman rasmi akan lantikan Perdana Menteri Malaysia ke 10 sebentar tadi.

Pada sesi rehat dagangan pertengahan hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 28.94 mata kepada 1,472.44 daripada 1,443.5 pada Rabu dengan aliran saham dibuka lebih tinggi iaitu 7.18 mata kepada 1,450.68.

Ini memperincikan persekitaran pasaran sedang positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 699 berbanding 201, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,121 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.

Jumlah dagangan kini berjumlah 3.18 bilion unit bernilai RM1.51 bilion.

Berdasarkan tinjauan pada saham perbankan pada pagi tadi pula, Maybank dilihat telah naik 15 sen kepada RM8.70, Public Bank meningkat 9 sen kepada RM4.37 dan CIMB pula menambah 10 sen kepada RM5.61.

Tidak hanya itu, bursa serantau juga telah memaparkan peningkatan hasil tindak-balas langkah Fed untuk memperlahankan kadar faedah di pasaran di mana Nikkei 225 Jepun naik 1.32%, diikuti Indeks Straits Times Singapura menambah 0.27% dan Kospi Korea Selatan pula meningkat 0.52%.

Selain itu pasaran Asia seperti Manila, Jakarta, Seoul, Tokyo, Hong Kong, Shanghai dan Sydney juga turut memaparkan peningkatan.

Berbalik kepada sentimen tempatan, menerusi pengumuman Anwar Ibrahim selaku PM Malaysia ke 10 dilihat akan meningkatkan lagi jangkaan pemerhati ekonomi yang menyasarkan indeks hari ini akhiri dengan lebihi paras 1,440. Ini kerana keyakinan pelabur dilihat akan kembalikan lonjakan pada bursa tempatan negara.