Artikel

Harga Ikan Mungkin Naik Dua Kali Ganda

Seiring dengan ketibaan musim hujan lebat (tengkujuh) di kebanyakan lokasi Malaysia, para pengguna kini diminta bersedia akan sebarang perubahan harga ikan di pasaran yang dijangka naik dua kali ganda.

Makluman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendapati pendaratan ikan di beberapa kawasan kelihatan telah mula terjejas kesan musim tengkujuh ini, bagaimanapun situasi bekalan masih lagi terkawal.

Bagi memastikan isu tersebut tidak membebankan pengguna, LKIM turut memaklumkan akan mengeluarkan stok ikan sejuk beku bagi menstabilkan pasaran sekiranya musim hujan lebat ini mula menjejaskan permintaan di Pantai Timur. Tidak hanya itu, stok ikan sejuk beku akan dipertingkatkan melalui tindakan import dari luar negara untuk memastikan permintaan rakyat terus terpelihara.

Buat pengetahuan umum, musim tengkujuh dijangka berterusan sehingga Mac 2023 dan disasarkan harga ikan ketika itu akan terkawal bermula Mei 2023 kelak.