Artikel

Nilai Ringgit Susut, Tidak Mencerminkan Kedudukan Ekonomi Malaysia

Nilai ringgit yang menyusut susulan pengukuhan dolar AS, tidak sewajarnya dijadikan sebagai ukuran kepada prestasi ekonomi Malaysia. Ini kerana prestasi mata wang negara dilihat lebih stabil berbanding nilai mata wang rakan dagangan utama lain.

Jelas Gabenor BNM Shamsiah Mohd Yunus pada sidang prestasi ekonomi negara suku ketiga hari ini, Malaysia tidak berada di dalam krisis. Ia ketara apabila KDNK negara telah berkembang selama empat suku secara berturutan, sementara kadar pengangguran pula telah menurun selama 14 bulan kepada 3.6%.

Tidak hanya itu, sistem perbankan Malaysia turut memaparkan pengukuhan pada aktiviti ekonomi – antaranya pertumbuhan pembiayaan kekal stabil.

Faktor sedemikian jelas menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia masih baik, namun BNM mengakui terdapat beberapa bahagian ekonomi yang masih tidak kembali pulih seperti sebelum kehadiran pandemik.

Akan tetapi prestasi ekonomi Malaysia dijangka akan terus berkembang pada 2023 dengan pertumbuhan sehingga 5.0% meskipun persekitaran global dijangka mencabar. Buat pengetahuan umum setakat suku ketiga ini, ekonomi negara telah berkembang 14.2% hasil dorongan permintaan domestik, pasaran buruh dan aliran eksport.