Artikel

Khidmat LRT Tergendala Mungkin Akan Beroperasi Semula Lebih Awal – MOT

Khidmat tren LRT bagi 16 stesen yang tergendala sejak 9 November lalu, merangkumi laluan Kelana Jaya sehingga Ampang Park dilihat berpotensi untuk beroperasi lebih awal daripada jangkaan Rapid Rail pada 15 November depan.

Makluman itu dikongsikan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada sidang sebentar tadi – bagaimanapun pengoperasian semula LRT yang terkesan ini hanya akan diketahui selepas pengujian penuh dilaksanakan pada hari esok, 12 November bersama wakil pengilang asal (OEM) Thales Group Toronto, Kanada.

Pengujian penuh itu menurut MOT akan melibatkan keseluruhan 37 stesen dan 24 set tren. Selain pemantauan Rapid Rail, keputusan pengoperasian semula juga memerlukan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan perkhidmatan mengikuti piawaian keselamatan.

Ekoran isu penutupan 16 stesen LRT ini, dianggarkan ia telah menjejaskan perjalanan sekitar 200,000 pengguna LRT yang terpaksa beralih ke mod pengangkutan awam yang lain.