Pada sidang kemas-kini perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sehingga Ampang Park hari ini (10 November), Rapid Rail memaklumkan pihaknya akan memberi pampasan harian kepada para pengguna yang terjejas dalam tempoh gangguan sedang berlaku.
Pelaksanaan tersebut bagaimanapun hanya akan dilakukan setelah perkhidmatan 16 stesen LRT ini kembali beroperasi semula.
Rapid Rail menegaskan tindakan pihak menutup operasi ketika ini adalah bagi memastikan keselamatan para pengguna terpelihara. Maka kerjasama dan pemahaman pengguna LRT buat masa ini amatlah dihargai oleh pihak Rapid Rail.
Setakat ini lebih 100 bas perantara telah disediakan di 16 stesen tersebut manakala berhubung status penyelenggaraan pula, terdapat beberapa pertukaran dan penambahbaikan panel serta bekalan kuasa tren telah dilaksanakan. Sebarang perkembangan lanjut akan dikemas-kini dari semasa ke semasa untuk pengetahuan umum.