Artikel

5.30 Juta Pekerja Malaysia Kini Dalam Kategori Separuh Mahir – DOSM

Permintaan tenaga kerja di Malaysia dilihat semakin membrangsangkan apabila pasaran buruh negara untuk Suku Ketiga 2022 memaparkan peningkatan untuk semua kategori kemahiran pekerjaan – apabila sebanyak 8.68 juta jawatan tersedia dan 8.48 juta jawatan telah diisi.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memperincikan kategori Mahir iaitu 24.9% bersamaan 2.16 juta jawatan telah alami pertambahan 82,000 jawatan, diikuti kategori Separuh Mahir dengan 62.3% bersamaan 5.41 juta jawatan dan kategori Kemahiran Rendah pula menyumbang 12.8% bersamaan 1.11 juta jawatan untuk suku ketiga 2022.

Data tersebut sekaligus menunjukkan aliran permintaan pekerjaan negara cenderung kepada kategori Separuh Mahir dengan mendominasi 5.41 juta jawatan di negara – di mana 5.30 juta jawatan telah disi pada suku ini. Mengikut kategori sektor ekonomi pula, Perkhidmatan terus menjadi penyumbang kepada pertambahan jawatan di negara untuk suku ketiga ini dengan 4.50 juta jawatan – di mana 4.47 juta jawatan telah diisi.

Buat pengetahuan umum data ini hanya merangkumi status pekerja yang bergaji sahaja – sama ada bekerja sepenuh masa atau secara sambilan. Ini tidak termasuk dengan pemilik perseorangan, rakan niaga, pekerja keluarga tanpa gaji atau pekerja yang bercuti tanpa gaji.