Rentetan daripada masalah sistem kawalan tren automatik (ATC) yang mengakibatkan perkhidmatan LRT sejak semalam tergendala, MyRapid pada hari ini (9 November) secara rasminya memaklumkan 16 stesen LRT melibatkan laluan Kelana Jaya hingga Ampang Park DIGANTUNG selama 7 hari – berkuat kuasa hari ini.
Penutupan laluan 16 stesen LRT tersebut sekaligus memberi gambaran kepada pengguna untuk menggunakan mod pengangkutan alternatif seperti bas perantara atau pengangkutan lain ke lokasi mereka. Tindakan tersebut secara langsung memungkinkan berlakunya sedikit kesesakan di stesen LRT yang tidak terlibat.
MyRapid pada masa yang sama turut memaklumkan, pihaknya akan menamatkan operasi perkhidmatan LRT di stesen lain dengan lebih awal iaitu pada jam 11 malam. Oleh itu, diharap semua pengguna ambil perhatian akan perubahan ini.
2/2 Lain-lain stesen beroperasi seperti biasa dan akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada jam 11mlm.
Terima kasih
— Ask Rapid KL (@askrapidkl) November 8, 2022
Sekadar perkongsian, berikut adalah kronologi masalah sistem kawalan tren automatik yang berlaku sejak 5 November;
- Sabtu – 5 November 2022
- Pada jam 10.34 pagi, salah satu peranti elektronik pada sistem ATC telah mengalami gangguan.
- Pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC) telah menjalankan penetapan semula (reset) pada komponen tersebut.
- Sistem telah dipulihkan dengan pemantauan pasukan OCC dan teknikal
- Ahad – 6 November 2022
- Setelah selesai waktu operasi pada tengah malam, pihak teknikal telah menjalankan kerja baikpulih dengan mengemaskini perisian pada sistem ATC.
- Ujian telah dijalankan sebanyak tujuh (7) kali dan sistem didapati stabil.
- Perkhidmatan beroperasi secara normal bermula jam 6 pagi
- Isnin – 7 November 2022
- Pada jam 10.38 pagi, salah satu peranti elektronik pada sistem ATC sekali lagi telah mengalami gangguan.
- Pada pukul 1.10 petang, perkhidmatan tren antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kelana Jaya telah dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pihak teknikal untuk menjalankan kerja baik pulih sistem ATC.
- Pada jam 8.39 malam, masalah yang sama telah dikesan yang menyebabkan perkhidmatan tergendala di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT KLCC.
- Bagi memastikan keselamatan penumpang, pihak operator telah mengambil keputusan untuk menghentikan perkhidmatan di antara Stesen LRT Ampang Park dan Stesen LRT Kelana Jaya pada jam 10.15 malam. Keseluruhan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah ditamatkan lebih awal pada jam 11.15 malam.
- Perkhidmatan bas perantara sehingga jam 1 pagi telah disediakan bagi menampung penumpang yang terjejas.
- Stesen MRT Pasar Seni dan Stesen LRT Pasar Seni (Laluan Sri Petaling/Ampang) turut dilanjutkan operasi sehingga jam 1 pagi