Artikel

Jumlah Penduduk Malaysia Bekerja Semakin Naik – Kini Seramai 16.05 Juta Individu

Pasaran buruh di Malaysia terus memperlihatkan perkembangan positif apabila jumlah penduduk bekerja di negara semakin meningkat kepada 16.05 juta.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada data September ini menunjukkan penempatan pekerjaan untuk penduduk negara telah alami peningkatan 588,700 pekerja berbanding September 2021.  Peningkatan ini secara langsung menurunkan kadar pengangguran di Malaysia kepada 3.6%.

Penurunan kadar pengangguran itu turut diperlihat dalam kalangan usia 15 tahun sehingga 30 tahun yang mencatatkan jumlah 460,400 individu masih mencari pekerjaan. Malah jumlah penduduk yang mengambil keputusan untuk tidak bekerja buat sementara waktu telah menurun kepada 80,100 individu.

Setakat ini, sektor ekonomi yang meningkatkan prestasi pasaran buruh Malaysia dilihat melibatkan sektor Perkhidmatan – khususnya peluang pekerjaan pada perkhidmatan makanan dan minuman, diikuti bahagian runcit, pengangkutan, logistik, pembuatan dan pembinaan.