Artikel

CEO Binance : Mata Wang Digital Bukan Ancaman Bagi Kriptowang

Usaha bank pusat dari serata dunia, dalam mengkaji pelaksanaan mata wang digital (CBDC) mengikut negara dilihat bukanlah suatu bentuk ancaman buat kriptowang di pasaran.

Kenyataan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Binance, Zhao Changpeng ini menjelaskan pelancaran CBDC pada platform kewangan digital dalam kalangan bank pusat secara langsung akan mengesahkan penerapan teknologi rantian-blok mereka dan membina kepercayaan dalam kalangan kumpulan skeptik terhadap kripto.

Tambahan pelaksanaan mata wang digital tersebut turut akan merancakkan lagi perkembangan kewangan digital dunia dalam arena perdagangan.

Setakat ini, mengikut Reuters terdapat beberapa bank pusat negara sedang mempertimbangkan penawaran mata wang digital pada aliran pembayaran mereka. Antaranya India, Singapura, AS, England dan Eropah.