Artikel

OPR Naik Lagi, Kini Paras 2.75% – Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini (3 November) mengumumkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada paras 2.50% kepada 2.75% – dengan peningkatan 25 bps (mata asas).

Buat pengetahuan umum, ini kenaikan kali keempat berturut-turut sejak Mei 2022 lalu.

Penetapan ini dicapai berlandaskan sidang Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), bagi ekonomi Malaysia, petunjuk terkini memaparkan pertumbuhan negara berada pada kedudukan yang lebih kukuh, didorong oleh pengukuhan permintaan dalam negeri dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. Pasaran buruh terus meningkat tatkala kadar pengangguran menjadi lebih rendah, ini secara langsung membawa kepada penyertaan buruh yang lebih tinggi dan prospek pendapatan negara yang lebih baik.

Namun, risiko terhadap pertumbuhan kekal wujud – ini merangkumi isu pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, serta isu gangguan rantaian bekalan. Malah menjelang  tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri. 

Keputusan ini menurut MPC selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan. Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang ketetapan awal dan akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dilaksanakan secara terkawal.

Untuk makluman, negara telah menetapkan paras 1.75%, sejak Julai 2020 lagi. Kini peningkatan OPR disasar akan terus berlaku oleh BNM berdasarkan situasi pasaran semasa. Berdasarkan kenaikan OPR, ini kenaikan ketiga yang telah dilaksanakan BNM sejak Januari 2022.