Artikel

SC Pertimbang Pembiayaan Alternatif, Bantu Dana Pemain Sektor Pertanian

Bagi memastikan sekuriti makanan Malaysia terus terpelihara, Suruhanjaya Sekuriti (SC) bersama 40 wakil agensi pertanian utama dan pemain industri kini melaksanakan perbincangan untuk tangani jurang pembiayaan yang berlaku dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara.

Menerusi semakan di bawah bengkel GROW ini, kedua pihak membincangkan pendekatan pembiayaan alternatif seperti biayasama ekuiti (ECF) dan pembiayaan P2P bersama pemain industri. SC melihat pembiayaan alternatif ini berupaya membantu PMKS mengembangkan operasi mereka selain memacu pertumbuhan sektor pertanian negara.

GROW untuk makluman adalah usaha kolaboratif antara SC dan rakan kongsi ekosistem bagi memanfaatkan potensi platform digital penjanaan dana alternatif. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pemain yang kurang mendapat perhatian dalam sektor-sektor strategik seperti pertanian.

Adanya medium sokongan ini, SC melihat ia akan membantu pemain industri meluaskan akses kepada pasaran modal dan merancang untuk melangsungkan penglibatan industri yang lebih luas bersama pemegang kepentingan utama pada tahun hadapan, 2023 – termasuklah menganjurkan Persidangan GROW Fintech kelak.