Memahami lonjakan kaedah nirtunai (tanpa tunai) melalui pendekatan e-pembayaran semakin meluas, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mulai melancarkan kempen e-Duit buat pemerkasaan sektor ekonomi negara.
Pelancaran pada hari ini (29 Oktober) memperincikan matlamat BNM adalah untuk mempercepatkan penerapan nirtunai dalam kalangan perniagaan dan isi rumah sebanyak 15% setiap tahun dan meningkatkan transaksi pembayaran atas talian per kapita daripada 221 kepada 400 transaksi menjelang tahun 2026 kelak.
Matlamat dalam tempoh 5 tahun ini akan melaksanakan pelbagai acara bersama penyedia teknologi lain – antaranya mempertingkatkan kesedaran dan menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia di pelbagai platform.
Untuk makluman sepanjang Oktober, pasukan Bulan Literasi Kewangan telah menjelajah ke 61 lokasi merentas tujuh negeri dan menyediakan sumber pendidikan kewangan secara percuma serta bebas kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia. Sumber ini meliputi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan khidmat nasihat pengurusan hutang.
Adanya usaha lanjutan ini ia akan turut menyokong agenda Malaysia untuk memperkasakan pendigitalan dalam ekonomi negara.