AEON menjangkakan dalam 12 bulan mendatang, pihaknya berupaya melaksanakan ujian rintis ke atas bank digitalnya iaitu ACS Digital menjelang Oktober 2023.
Seperti yang umum ketahui, pada akhir April lalu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 – AEON menjadi antara 5 syarikat diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjadi penerima lesen bank digital negara.
Perkongsian bank digital melibatkan AEON Financial Service, AEON Credit Service dan MoneyLion Inc ini secara menyeluruhnya disasarkan akan hadir ke pasaran umum pada tahun 2024. Dan untuk persediaan itu, mengikut laporan AEON menjangkakan platform tersebut akan mula meraih keuntungan setelah beroperasi sekitar 4.5 tahun.
Pada masa yang sama, AEON kelak turut merancang melantik Raja Teh Maimunah selaku Ketua Pegawai Eksekutif ACS Digital – yang bertindak mengelola kemajuan pembangunan bank digital mereka. Dimaklumkan lantikan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Disember kelak.
Untuk makluman Raja Teh memiliki latarbelakang dalam skop perbankan dan pernah berkhidmat bersama Bursa Malaysia, Pusat Kewangan Kuwait serta CIMB.