Dalam memastikan kualiti sistem percukaian bersama transaksi perniagaan negara kekal telus dan bertambahbaik, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini capai kesepakatan laksana inisiatif e-Invois Kebangsaan.
Aturan ini akan memperlihatkan pelarasan rangka kerja e-Invois negara mengikut keperluan pematuhan cukai di seluruh Malaysia.
Buat pengetahuan umum, inisiatif e-Invois ini sebahagian dari agenda pendigitalan yang lebih menyeluruh negara bagi dokumen-dokumen perniagaan, bermula dengan e-invois, dan kemudiannya akan merangkumi dokumen-dokumen perniagaan lain seperti penghantaran, katalog dan pesanan. Ini adalah selaras dengan trend global apabila pelbagai negara kini telah melaksanakan e-invois yang interoperable, dan kemudiannya pelaksanaan diperluaskan untuk merangkumi dokumen-dokumen perniagaan yang lain.
LHDN juga melihat ia turut memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.
Malah kerjasama bersama MDEC ini turut membantu LHDN memahami keupayaan negara ke arah pendigitalan pentadbiran cukai di masa akan datang.